Teong Kim bidas kenyataan bekas pemain kebangsaan, “Tak faham jangan cakap mengarut”

Ahad 18 April 2021 12:33

9.3K

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim menegaskan bahawa dia tidak peduli tentang kekalahan dan kemenangan yang dicatat skuad projek MSN-FAM, sebaliknya hanya melihat proses pembangunan pemain.

Teong Kim yang kini menetap di Munich, Jerman ini menjelaskan dia tidak mengelirukan peminat-peminat bola sepak Malaysia, tetapi hanya ingin 'educate' mengenai pembangunan bola sepak kepada peminat-peminat dan ibu bapa pemain-pemain muda.

"Saya mempunyai pengalaman yang luas terhadap pembangunan bola sepak remaja. Ini tanggungjawab saya untuk melindungi pemain-pemain apabila saya melihat sesuatu perbuatan yang salah yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya bukan seperti segelintir jurulatih atau pegawai yang 'membuta' dan membisu yang mana masing-masing ingin menjaga periuk nasi mereka sendiri, dan biarkan anak-anak orang lain 'mati' kerana bukan anak sendiri," luahnya kepada MAXGOAL SPORTS.

Teong Kim membidas kenyataan yang dibuat bekas pemain kebangsaan Rosli Hussien di sebuah akhbar harian berkaitan kritikannya mengenai skuad projek MSN-FAM yang beraksi di pentas Liga Perdana  musim ini.

Jelas Teong Kim, dia tidak pernah bermain sepasukan dengan Rosli sepanjang karier bola sepaknya di negara sebelum ini seperti yang didakwa oleh  bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

"Dia ada cakap saya gagal bersama NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dan AMD. Pada mata dia, saya gagal kerana tidak layak ke aksi Piala Dunia Bawah 17 Tahun. Memang betul, saya tidak layak.

"Dia mempunyai mentaliti bola sepak senior seperti ramai jurulatih lain. Sebab itu dia kata saya gagal.

"Bola sepak senior 'is all about winning' tetapi bukan bola sepak remaja. Saya nak tanya dia,mana datang  pemain-pemain beraksi pada Kejuaraan AFF B-19 yang bergelar juara?

"Lapan (8) pemain daripada AMD, manakala enam pemain sentiasa beraksi senarai sebelas utama semasa kejohanan AFF B-19 dan ketika itu mereka berumur 17 tahun.

"Dia fikir, pemain-pemain itu datang daripada mana? 'Bomoh kampung' hantar pemain-pemain kepada FAM? Atau pun, pemain-pemain ini mungkin tumbuh di pokok kelapa rumahnya? Tiba-tiba pemain-pemain ini menjadi handal," tegas Teong Kim.

Dalam pada itu Teong Kim turut bertanyakan Rosli mengenainya pengalamannya bersama pasukan pembangunan remaja.

"Pernahkah dia melatih pasukan pembangunan remaja? Berapa tahun pula dia melatih skuad remaja? Berapa pula kemenangan di dalam sebarang kejohanan atau liga kejuaraan atau pertandingan lain?

"Kalau dia ada jawapan semua yang saya tanya itu, maknanya apa yang Rosli cakap boleh 'dipakai'. Sekiranya tidak ada jawapan, dia sebenarnya mengarut. Atau mungkin dia hanya pancing untuk dapatkan 'job' di FAM sahaja.

"Jika betullah dia peduli mengenai bola sepak remaja ini, adakah dia mengikuti setiap perlawanan skuad projek MSN-FAM ini?

"Berapa hantaran pemain-pemain dapt sebelum mereka hilang bola? Berapa saat atau minit seseorang pemain dapat bola di kaki dalam tempoh 90 minit perlawanan? Atau bagaimana pula hantaran penjaga gol merancang melakukan serangan?," soalnya yang tidak menafikan ramai orang boleh mengkritik 'kosong' mengenai pembangunan bola sepak.

Sebelum ini, Teong Kim sebelum ini pernah memberitahu saingan kompetitif pemain-pemain muda memang penting, namun perlu bijak untuk meletakkan mereka dalam liga yang bersesuaian dengan tahap mereka terlebih dahulu.

"Di Jerman, pembelajaran kejurulatihan dalam bola sepak adalah lebih mengenai aspek psikologi dan pedagogi bukan hanya taktikal, teknikal dan 'physical conditioning' dalam bola sepak.

"Kerana bekerja dengan golongan ini mental mereka belum  kuat dan matang bukan seperti orang dewasa," tambahnya.

Skuad projek MSN-FAM menjadi tumpuan warga bola sepak tanah akiar apabila aksi dianggap tidak sesuai bermain dengan  pasukan Liga Perdana yang lebih dikuasai kelab dan pemain-pemain senior yang berpengalaman.

Selain Teong Kim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP Safirul Azli Abu Bakar yang turut tertanya-tanya objektif skuad muda ini diletakkan dalam Liga Perdana musim kini.